Monday, October 15, 2012

Wanderlust Hotel Singapura: Kerjasama Kreatif 4 Firma Dengan Tema Berbeza


Asalnya adalah sebuah sekolah di awal 1920-an, tapi DP Architects dengan kerjasama 3 lagi syarikat idea kreatif:
 The AsylumPhunk Studio dan fFurious mengorak langkah berani dengan menukarkan Wanderlust Hotel kepada sebuah hotel konsep yang menggabungkan tradisi dan budaya sejarah Singapura di pintu masuk dan lobi hotel. Namun ketika melangkah ke atas untuk ke bilik, kita semua dibawa ke dunia kreatif dan moden yang mewakili idea minda rakyat Singapura yang semakin menumpukan kepada perkembangan minda kreatif sebagai aset utama mereka di masa depan.

Terletak di Little India yang penuh dengan pengaruh budaya asal Singapura ni, Wanderlust Hotel telah memenangi banyak anugerah rekaan konsep dari seluruh dunia. Kesemua 29 bilik yang disediakan ini diletakkan pelbagai tema bagi setiap tingkat hotel tersebut. Keempat-empat firma idea kreatif ini diberi tanggungjawab untuk rekabentuk lain daripada yang lain untuk setiap tingkat tersebut. 

Tema yang cuba dibawa oleh The Asylum untuk ruang legar bawah dan restoran Cocotte dinamakan konsep industrial glam. Betapa kreatifnya mereka ini sampai kerusi di kedai gunting rambut pon diletakkan di lobi. Paling kreatif kalau korang perasan adalah kerusi yang diubahsuai daripada troli pasaraya. Kerusi tu kalau nak tengok ada di sebelah kerusi gunting rambut warna biru.

Di tingkat ke-2 Wanderlust Hotel ini pula diberi tema eccentricity oleh Phunk Studio. Tema single colour diberi penekanan di setiap bilik di tingkat ini. Samada lampu neon mahupun dinding, semuanya diberi warna seragam yang menyerlah konsep eccentricity itu sendiri.

Menjengah ke tingkat ke-3 pula, penginap akan diberi kejutan dalam bentuk hitam dan putih oleh DP Architects. Koridor di sepanjang tingkat ini diberi penataan warna hitam kerana memasuki saja bilik, akan kelihatan kontras warna putih yang ketara dalam bentuk hasil kerja origami dan pop-art oleh pasukan ini. Cukup kemas, minimalis dan sangat tidak berserabut walaupon banyak hasil kerja origami bercahayakan lampu di belakangnya.

Ke tingkat teratas pula, pengunjung akan diberikan nafas segar bertemakan creature comforts oleh fFurious. Bilik tidur dihias dengan penuh fantasi. Paling menyegarkan apabila melihat bintang-bintang daripada penggunaan LED dengan sangat realistik. Di bilik lain pula, ada dibawakan kehijauan alam dalam bentuk penuh imaginasi oleh pasukan idea kreatif ini.

Boleh dikatakan setiap perjalanan ke setiap tingkat dari lobi hinggalah ke atas, semuanya mempunyai fantasi yang berlainan. Dan kebanyakannya mengimbau kembali nostalgia pengunjung pada zaman kecil dahulu. Siapa sangka bangunan lama seperti ini mampu memberikan kesan yang luar biasa kepada pengunjungnya. Itulah penangan yang diberikan oleh Wanderlust Hotel Singapura.





















0 comments:

Post a Comment