Sunday, November 18, 2012

Perabot Kayu Jati: Tips Mengenalpasti, Membeli & Penjagaan


Perabot jati memang perabot kegemaran ramai. Ia cantik, kemas dan nampak padu. Walaupun harganya lebih mahal daripada kayu-kayu lain seperti cengal dan sebagainya, perabot yang dihasilkan daripada kayu jati mampu bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya. Berikut adalah 5 panduan yang boleh anda gunakan sewaktu memilih perabot kayu jati.

1. Tentukan gred perabot tersebut
Secara umumnya, perabot jati dibahagikan kepada 3 gred, iaitu gred A, gred B dan gred C. Gred ini bakal menentukan tahap harga perabot yang dijual. Gred A lebih mahal dari gred B, manakala gred B lebih mahal daripada gred C. Ini kerana perabot gred A dipotong daripada kayu jati yang paling berkualiti, dan telah mencapai usia yang matang (sehingga lebih 20 tahun). Kayunya kelihatan amat kukuh.
Jika anda tidak tahu, tanya pemilik kedai tentang gred kayu perabot mereka.  Selalunya, mereka tidak akan menipu dan memain mainkan gred. Jika mereka sendiri tidak tahu, sahlah mereka ini cetek pengalaman dalam perniagaan kayu jati.
Walaupun pengetahuan anda mengenai kayu jati mungkin kurang mendalam, tetapi apabila anda mengamati dan membandingkan antara gred A, gred B dan gred C, anda akan nampak perbezaannya. Oleh kerana perabot gred A mahal, banyak diantaranya dieksport ke luar negeri untuk pasaran antarabangsa. Perabot jati gred B dan gred C paling mudah di dapati di Malaysia.

2. Pilih citarasa anda
Sudah menjadi kelaziman, perabot jati datang dengan ukiran dan juga kerawang. Ini adalah corak jati yang tradisional. Malah, hampir kebanyakan mereka yang membelinya akan memilih corak begini. Tetapi kini, rekaan perabot jati sudah banyak berubah dan mula menampilkan imej kontemporari, klasik, kolonial dan juga gabungan fusion. Ada yang kosong dan juga yang digandingkan dengan pelbagai material dan fabrik seperti kain, dan kulit. Semua ini dilakukan bagi memenuhi citarasa pelanggan yang pelbagai ragam.
Sebagai contoh, sekali imbas, perabot di bawah nampak seperti perabot kayu yang bukan dibuat daripada jati.
Sebenarnya ia adalah perabot jati gred A yang menggabungkan elemen kolonial dan moden. Ia juga menampilkan penggunaan kulit berwarna hijau gelap untuk menambahkan keunikan perabot tersebut. Jadi, buatlah pilihan terbaik daripada senarai perabot yang anda lihat tersebut, dan padankan dengan citarasa anda.

3. Elakkan kayu yang bersambung
Seelok eloknya, elakkan daripada memilih rekaan corak dan kayu yang disambung sambung. Ia melambangkan kualiti kerja yang berkualiti rendah dan berkemungkinan corak tersebut akan tercabut pada masa hadapan. Usap tangan anda perlahan lahan di atas kayu jati di hadapan anda dan cuba rasa jika ada bahagian tersebut yang di sambung sambung. Kadang kadang juga, ada perabot jati yang tidak bersambung yang patah, lalu pekedai akan menyambungkan dengan ukiran lain. Jika ini berlaku, harga perabot yang dijual itu seharusnya kurang daripada harga pasaran kerana kualiti yang telah dikompromi.

4. Tinjau harga
Sebagaimana anda membeli pakaian, rumah dan bahan bahan dapur, sesekali lawatilah kedai perabot yang berbeza untuk membuat tinjauan harga. Jika anda mendapati ada perabot yang sudah berada di kedai bertahun tahun lamanya, berkemungkinan anda mampu membeli pada harga yang rendah kerana sudah pasti pemilik kedai tersebut ingin melupuskan inventori yang sudah lama bagi memberi ruang kepada perabot baru dan terkini.
Kebiasannya, harga perabot yang ditawarkan di negeri Sarawak adalah jauh lebih murah berbanding harga di semenanjung Malaysia. Meskipun ditambah kos pembungkusan dan penghantaran melalui kapal atau kargo, jumlah harga yang perlu dibayar masih lagi murah. Anda mungkin mampu menjimatkan perbelanjaan anda sebanyak 30% hingga 50%. Jadi, tidak hairanlah jika anda mendapati ramai mereka yang berkunjung ke Sarawak tidak melepaskan peluang untuk membeli perabot jati.

5. Guna alat penjagaan yang betul
Walaupun perabot jati kukuh dan tahan lama, penjagaan yang cermat dan berterusan adalah penting untuk mengekalkan seri perabot anda. Sewaktu membeli perabot jati, beli cecair pembersih (ia dipanggil minyak murni) yang akan digunakan untuk menggosok atau mengilatkan perabot anda. Ini tidak perlu dilakukan begitu kerap, cukuplah sekadar sebulan atau dua bulan sekali. Dengan penjagaan yang betul, perabot jati anda boleh kelihatan sama seperti dibeli walaupun telah 10 tahun atau 15 tahun memakinya.

perabot kayu jati

perabot kayu jati

perabot kayu jati

perabot kayu jati

perabot kayu jati

0 comments:

Post a Comment